Bagi anda yang sedang berjinak-jinak untuk bercucuk tanam, anda boleh mula dengan tanaman hidroponik di dalam rumah!
Apa yang dimaksudkan dengan hidroponik dan kelebihannya berbanding penanaman konvensional yang biasa?
Untuk artikel kali ini, kami ingin kongsi kepada anda tentang tanaman hidroponik dari segi jenis sistem, kelebihan dan keburukan, serta cara untuk DIY sendiri di rumah.
Baca juga:
Apa itu tanaman hidroponik?
Penanam hidroponik adalah cara menanam tumbuhan dengan menggantikan air untuk tanah. Sistem hidroponik terbahagi kepada dua iaitu aktif dan pasif.
Aktif bermaksud larutan nutrien akan dipindah biasanya melalui pam. Manakala pasif pula bergantung pada sumbu yang digunakan.
Jenis kaedah tanaman tanaman hidroponik
Terdapat 6 kaedah sistem hidroponik yang boleh anda cuba, antaranya adalah seperti berikut:
1. Sistem sumbu (wick)
Jenis sistem pasif. Larutan nutrisi akan diserap oleh media tanaman dari bahagian atas menggunakan sumbu.
Kebaikan | Keburukan |
---|---|
Sangat mudah untuk disediakan | Tidak sesuai untuk tumbuhan yang lebih besar |
Bagus untuk pemula | Tidak cekap dalam penggunaan nutrien |
2. Sistem kultur air (water culture)
Antara sistem yang paling ringkas dari semua sistem hidroponik aktif. Ia biasanya menggunakan bekas tanaman dari styrofoam lalu diletakkan secara terapug di atas permukaan larutan nutrisi.
Pam udara akan membekalkan oksigen untuk akar tumbuhan dengan membuat banyak gelembung udara dalam larutan nutrisi.
Kebaikan | Keburukan |
---|---|
Murah, mudah dibina | Tidak sesuai untuk tumbuhan yang lebih besar |
Jimat air | Tidak sesuai untuk tumbuhan dalam tempoh yang lama |
3. Sistem pasang surut (Ebb and Flow / Flood and Drain)
Sistem pasang surut membolehkan tanaman mendapatkan air, oksigen dan nutrisi dari pengepaman tangki simpanan yang dipam ke akar tanaman.
Selang beberapa waktu kemudian air bersama dengan nutrisi akan turun kembali menuju ke tangki semula. Waktu pasang dan surut air akan diatur menggunakan timer.
Kebaikan | Keburukan |
---|---|
Mudah untuk tumbuhan yang sukakan air seperti salad dan bayam | Terdedah kepada kegagalan pam/pemasa, gangguan bekalan elektrik |
Mudah dibina | Perlukan teknik yang betul |
4. Sistem titisan (drip irrigation)
Sistem yang paling banyak digunakan dalam tanaman hidroponik adalah sistem titisan. Ia berlaku dengan menyiram tanaman menggunakan titisan air.
Dengan cara ini, setiap titisan air akan mengandungi nutrisi lengkap yang diperlukan oleh tanaman.
Kebaikan | Keburukan |
---|---|
Mudah untuk dibina dan digunakan | pH dan turun naik nutrien |
Lebih banyak kawalan ke atas jumlah nutrien dan air | Lebih sesuai untuk taman yang lebih besar |
5. Sistem NFT (nutrient film technique)
Ini adalah teknik dimana aliran larutan nutrisi diberikan melalui aliran / saluran paip yang sangat cetek. Air yang mengandungi semua nutrisi ini akan terlarut dan diberikan terus menerus selama 24 jam.
Kebaikan | Keburukan |
---|---|
Penggunaan air yang cekap | Terdedah kepada kegagalan pam dan gangguan bekalan elektrik |
Penjimatan air | Tidak sesuai untuk tumbuhan besar dan berat. |
6. Sistem aeroponik
Media tanaman bagi sistem aeroponik adalah udara. Akar-akar akan tergantung di udara dan larutan nutrisi disembur secara kabus terus ke akar.
Kebaikan | Keburukan |
---|---|
Banyak oksigen untuk akar tumbuhan | Lebih mahal daripada jenis lain |
Penggunaan air yang cekap | Lebih terdedah kepada kekeringan yang disebabkan oleh gangguan bekalan elektrik |
Jenis tanaman hidroponik di dalam rumah
Ada beberapa jenis sayuran yang sesuai untuk menggunakan kaedah tanaman hidroponik. Berikut adalah antara jenis tanaman yang boleh dipertimbangkan:
- Salad
- Sawi
- Bayam
- Kangkung
- Kacang buncis
- Brokoli
- Asparagus
- Pak choy
- Daun kesum
- Basil
- Mint
- Ketumbar
- Daun bawang
- Seleri
- Oregano
- Rosemary
- Ivy
- Hoya
- Thyme
- Tomato
- Cili
- Timun
- Strawberi
- Kentang
Kelebihan menggunakan kaedah hidroponik
Terdapat banyak kelebihan hidroponik sehingga menjadikan ia kaedah pertanian yang menarik untuk dunia moden hari ini.
1. Tidak perlukan tanah
Tanaman hidroponik tidak memerlukan media tanah untuk proses pembesaran tanaman. Ia hanya menggunakan air untuk mengantikan media tanaman.
Dengan cara ini, kawasan tanaman anda akan lebih bersih, bebas masalah rumput tumbuh, dan tiada bau yang tidak menyenangkan seperti bau baja.
2. Menjimatkan air
Mesti ramai yang ingat tanaman hidroponik menggunakan air yang sangat banyak berbanding tanaman konvensional yang lain?
Sebenarnya kaedah tanaman hidroponik sangat unik dan jimat air (80% – 90% kurang air daripada kaedah tanaman lain). Sebabnya air yang digunakan akan dikitar semula melalui paip dan dibawa semula ke takungan larutan nutrien.
Ini menjadikan hidroponik sebagai teknik pertanian yang ideal di lakukan di kawasan yang kekurangan air akibat kemarau.
3. Lebih mudah untuk menuai tanaman yang matang
Tanaman hidroponik lebih mudah dituai selepas matang kerana biasanya ia ditanam di bangku, meja, atau diletakkan di tempat yang mempunyai ketinggian hampir sama dengan pinggang anda.
Justeru, pada ketinggian ini anda tidak perlu untuk membongkokkan badan atau melutut untuk menuai tanaman tersebut.
4. Tanaman tumbuh lebih cepat
Teknologi hidroponik mempunyai keupayaan untuk menuai tanaman lebih cepat dan lebih besar kerana ia melalui pertumbuhan yang optimum.
Keupayaan untuk mengawal persekitaran di sekeliling setiap tumbuhan dan memberikan nutrien optimum kepada akar membolehkan tumbuhan membesar sehingga dua kali lebih cepat.
5. Menghasilkan hasil lebih tinggi
Hidroponik menyediakan persekitaran yang terkawal dan dipantau untuk tumbuh-tumbuhan. Selain itu, membekalkan akar secara langsung dengan nutrien yang diperlukan membantu ia membesar dengan lebih cepat.
Faktor dalaman juga memberi kesan positif kepada hasil kerana anda tidak perlu bergantung pada musim. Ini bermakna ia boleh ditanam sepanjang tahun, tanpa perlu memikirkan tentang faktor luaran seperti serangan serangga perosak, perubahan cuaca dan masalah yang lain.
6. Tidak memerlukan tenaga buruh yang ramai
Pertanian berasaskan tanah biasanya memerlukan tenaga kerja dan buruh yang ramai dan meletihkan. Walaupun banyak kaedah penanaman ini boleh dijenterakan atau menggunakan tenaga kerja mesin automatik, langkah seperti menuai masih memerlukan kudrat manusia sendiri.
Berbeza dengan tanaman hidroponik, walaupun ia masih memerlukan tenaga manusia, setiap jenis tugasan yang perlu dibuat boleh dilakukan dengan lebih cepat. Dalam kata lain, anda boleh lakukan banyak tugasan dengan sedikit orang sahaja.
7. Menghasilkan hasil tanaman yang berkualiti tinggi
Tanaman hidroponik mempunyai hasil yang lebih berkualiti tinggi kerana persekitarannya dikawal dengan teliti dan nutrien yang seimbang secara saintifik dalam bekalan airnya.
Ia tidak tercemar dengan racun perosak atau bahan cemar yang lain. Semua ini membawa kepada tanaman yang bukan sahaja lazat tetapi sekurang-kurangnya sama sihat seperti tanaman yang ditanam secara tradisional dari jenis yang sama.
8. Mengurangkan makluk perosak dan kulat
Hidroponik tidak memerlukan tanah untuk menanam tumbuhan, dan mengurangkan penyakit bawaan tanah. Selain itu, memandangkan teknik pertanian ini dilakukan di dalam rumah dan semuanya berada dalam persekitaran terkawal, kemungkinan serangan perosak adalah lebih rendah.
9. Memaksimumkan penggunaan ruang
Jika anda bercadang untuk melakukan pertanian berasaskan tanah secara besar-besaran, anda memerlukan banyak ruang untuk melakukannya. Untuk membeli sebidang tanah bagi tujuan penananam pun bukanlah murah kosnya.
Bagi penanaman bandar, penanam hidroponik secara menegak adalah pilihan yang sangat tepat dan bijak! Dengan menyusun tumbuhan secara menegak, anda boleh dapat hasil yang lebih banyak pada satu masa dengan jumlah ruang yang sama.
Ini adalah cara yang luar biasa untuk memaksimumkan ruang yang dimililiki.
10. Kos permulaan yang menjimatkan
Mereka yang baru ingin berjinak-jinak dalam dunia perkebunan boleh cuba mulakan dengan tanaman hidroponik terlebih dahulu kerana ianya lebih mudah dan kos yang menjimatkan.
Menariknya, anda boleh bina sendiri (DIY) peralatan hidroponik di rumah atau dapatkan set yang telah siap di kedai dengan harga yang berpatutan dan boleh digunakan untuk satu tempoh yang lama.
Cara DIY sendiri di rumah
Mudah sahajakan? Memang menarik idea DIY menggunakan bahan kitar semula yang dikongsikan oleh Berani Buat ni.
Mana tahu kalau konsisten, selepas sini anda boleh nikmati hasil tanaman sayur sendiri di rumah!
Setakat itu sahaja perkongsian kami mengenai tanaman hidroponik. Untuk mendapatkan lebih banyak lagi ilmu dan tips mengenai perkebunan dan tanaman, anda boleh terus ikuti artikel terkini dari Terapi Kebun.
Sumber:
- Different Types of Hydroponic System. No Soil Solutions
- Benefits of Hydroponics & Its Impact on Agriculture. Edengreen