Daun kunyit adalah salah satu pelengkap dalam pelbagai jenis masakan kerana ia memiliki aroma khusus yang membangkitkan selera.
Namun tahukah anda, daun ini kaya dengan pelbagai nutrisi dan khasiat tersendiri untuk meningkatkan kualiti kesihatan manusia?
Untuk artikel kali ini, kami ingin kongsi kepada anda tentang kegunaan dan khasiat daun kunyit, serta cara untuk tanam sendiri di rumah.
Baca juga:
Apa itu daun kunyit?
Daun kunyit dikenali ramai dalam pelbagai jenis masakan tradisional Melayu dan India. Buat masyarakat India, Mangalore, menggunakan untuk memasak nasi manis yang dikenali sebagai Patholi.
Ia memiliki aroma yang khusus yang menjadikan hidangan lebih wangi dan menarik. Daunnya sedikit nipis tetapi lebar.
Adanya serat yang cukup banyak membuat ia tidak mudah koyak walaupun dimasak. Menariknya lagi, daun ini boleh menjadi pengganti kunyit untuk memberi kesan warna kuning pada masakan.
Fakta nutrisi kunyit
Berikut adalah kandungan nutrisi yang terdapat dalam setiap 3 gram kunyit:
Nutrisi | Jumlah |
---|---|
Air | 12.8 g |
Tenaga | 312 kcal |
Protein | 9.68 g |
Jumlah lemak | 3.25 g |
Abu | 7.08 g |
Karbohidrat | 67.1 g |
Serat | 22.7 g |
Jumlah gula | 3.21 g |
Sukrosa | 2.38 g |
Glukosa | 0.38 g |
Fruktosa | 0.45 g |
Kalsium | 168 mg |
Zat besi | 55 mg |
Magnesium | 208 mg |
Fosforus | 299 mg |
Kalium | 2080 mg |
Natrium | 27 mg |
Zink | 4.5 mg |
Kuprum | 1.3 mg |
Mangan | 19.8 mg |
Selenium | 6.2 µg |
Vitamin C | 0.7 mg |
Thiamin | 0.058 mg |
Riboflovin | 0.15 mg |
Niasin | 1.35 mg |
Vitamin B-6 | 0.107 mg |
Folat | 20 µg |
Kolin | 49.2 mg |
Betaine | 9.7 mg |
Vitamin E | 4.43 mg |
Vitamin K | 13.4 µg |
Jumlah asid lemak tepu | 1.84 g |
Jumlah asid lemak tak tepu | 0.449 g |
Kegunaan daun kunyit
Daun kunyit biasanya digunakan dalam rendang, sambal, dan masak lemak. Ia juga digunakan sebagai pembungkus untuk membungkus hidang kukus atau membakar seperti ikan bakar, botok-botok ikan dan sebagainya.
Jika anda ingin membuat perapan untuk hidangan ayam, ikan, dan daging, anda boleh kisar atau tumbuk daun kunyit sehingga lumat dan menjadi pes.
Khasiat dan manfaat
1. Melancarkan penghadaman
Daun kunyit yang dihancurkan boleh membantu melancarkan penghadaman dan mengurangkan masalah gas serta kembung perut.
Ia dikatakan menjadi pencetus pengeluaran hempedu, yang merupakan salah satu dari komponen utama penghadaman. Peningkatan rembesan jus hempedu membantu sistem penghadaman lebih lancar.
2. Mempunyai sifat antiradang yang kuat
Oleh kerana sifat antiradang yang kuat, daun kunyit dalam bentuk minyak pati oleh memberi manfaat bagi mana-mana pesakit osteoarthritis dan rheumatoid arthritis.
Bahkan menurut pakar sebatian bio-aktif, daun ini boleh membantu mengurangkan kesakitan. Walau bagaimanapun, penggunaan kunyit dalam jumlah yang banyak bukanlah satu idea yang baik. Anda perlu rujuk nasihat doktor untuk penggunaan lanjut.
3. Mengekalkan kulit yang mulus
Daun kunyit boleh menjadi solusi terbaik anda dalam semua masalah berkaitan kulit. Penggunaannya dalam bentuk pes dan disapu pada kulit boleh membantu mengekalkan kulit lembut, licin, dan mulus.
Ia juga membantu mengelakkan pertumbuhan bintik-bintik gelap atau cela pada wajah!
4. Melawan serangan kulat dan bakteria
Daun kunyit memiliki komponen yang mampu untuk melawan serangan bakteria dan pertumbuhan kulat.
5. Mempunyai sifat antiseptik
Sifat kunyit itu sendiri sangat padat dengan sifat antiradang, antibakteria, dan antivirus yang mempercepatkan tempoh penyembuhan.
Anda boleh cuba ambil beberapa helai daun kunyit, hancurkan, masukkan sedikit air dan lumatkan ia sehingga menjadi pes. Sapukan pes tersebut pada luka terbakar, atau luka cedera ringan untuk kesan penyembuhan segera.
Cara tanam kunyit di rumah
Paling mudah untuk tanam kunyit adalah melalui tunas yang sudah tumbuh pada kunyit. Caranya mudah sahaja seperti berikut:
- Letak kunyit yang bertunas itu dalam bekas berisi air. Pastikan isi padu air tersebut hanya sekadar basah bawahnya sahaja bukan sampai terendam.
- Apabila akar mula keluar, pindahkan ia ke dalam pasu.
- Jangan tanam kunyit tersebut terlalu dalam kerana akan meyebabkan kulitnya rosak, membusuk dan mati.
- Anda perlu timbus sikit-sikit dan siram dengan sedikit air. Jangan terlalu banyak air dan pastikan letakkan pasu tersebut di tempat yang teduh.
Cara simpan daun kunyit elak cepat rosak
Daun ini mudah dan cepat untuk bertukar warna menjadi kekuningan, layu dan kering. Untuk pengetahuan anda, daun kunyit juga mempunyai penjagaannya yang tersendiri. Apa kata anda cuba petua berkesan ini.
- Bersihkan daun kemudian keringkan menggunakan tisu hingga kering.
- Simpan dalam bekas bertutup atau zipper bag dan simpan dalam peti sejuk beku.
- Bila anda ingin gunakan nanti, hanya keluarkan bekas tersebut dan rehatkan pada suhu bilik sehingga ais pada daun mencair.
Setakat itu sahaja perkongsian kami mengenai khasiat dan kegunaan daun kunyit. Untuk mendapatkan lebih banyak lagi ilmu dan tips mengenai perkebunan dan tanaman, anda boleh terus ikuti artikel terkini dari Terapi Kebun.
Sumber:
- How to Grow Turmeric in Containers, in Any Zone! Homestead and Chill
- Incredible Benefits Of Turmeric Leaves You Must Know. NDTV Food