Bagaimanakah cara tanam cili benggala? Cili benggala atau lada besar sangat popular digunakan dalam penyediaan pasta, pizza dan pelbagai lagi makanan di seluruh negara. Ia menjadi pilihan ramai bukan sahaja kerana rasanya yang manis dan sedap tetapi juga warnanya yang menarik.
Apa yang menakjubkan, sayuran ini mempunyai nilai pemakanan yang tinggi dan juga mengandungi bahan bioaktif iaitu capsaicin yang boleh menyokong kesihatan manusia.
Untuk artikel kali ini, kami ingin kongsi kepada anda langkah-langkah mudah tentang cara tanam cili benggala dalam pasu rumah serta petua yang bolah anda praktikkan.
Baca lagi:
Apa itu cili benggala?
Cili benggala (Capsicum annum L) adalah sejenis sayuran cili dari keluarga Solanaceae. Nama capsicum berasal daripada perkataan Yunani yang bermaksud menggigit. Ia merujuk kepada rasa panas terbakar dalam mulut yang dihasilkan oleh kebanyakkan cili.
Ia dipercayai berasal dari kawasan Mexico, Amerika Selatan atau Amerika Tengah yang tersebar di kawasan Eropah, Asia Barat, dan negara lain sehingga kini ia ditanam di seluruh dunia.
Terdapat lebih 30 spesis cili benggala direkodkan di dunia ini termasuklah seperti Capsicum baccatum, Capsicum annuum, Capsicum pubescens, Capsicum frutescens, dan Capsicum chinense yang boleh dibezakan berdasarkan warna, bentuk dan kepedasan.
Jenis cili benggala
Menariknya tentang cili benggala, mempunyai pelbagai warna yang “ceria’ dengan kepedasan yang berbeza tahapnya.
1. Cili benggala hijau
Jenis cili ini dituai sebelum masak sepenuhnya. Rasanya sedikit pahit dan teksturnya ranggup dan kurang manis berbanding cili benggala merah, kuning, dan oren.
2. Cili benggala kuning
Cili benggala kuning lebih matang daripada yang hijau. Ia mempunyai tekstur yang lembut daripada cili benggala oren dan merah.
Itulah sebabnya ia lebih sesuai digunakan ketika memanggang untuk memberikan hidangan anda rasa manis seperti buah. Selain itu, warna kuning yang terang seakan-akan lemon ini juga akan menjadikan hidangan anda kelihatan lebih menyelerakan.
3. Cili benggala oren
Rasanya kurang sedikit manis berbanding yang warna merah. Ia sesuai dihidangkan bersama salad atau sebagai topping dalam masakan yang dipanggang dalam hidangan Asia.
4. Cili benggala merah
Cili benggala merah adalah jenis yang paling matang dengan warna cerah dan rasa buah yang manis. Ia kaya dengan fitonutrien, karotenoid dan vitamin C.
Bahkan rekod menunjukkan ia mengandungi hampir sebelas kali lebih banyak beta-karotena daripada cili benggala hijau. Ia juga sesuai dihidangkan bersama salad atau sebagai topping dalam masakan yang dipanggang.
5. Cili benggala hitam
Agak jarang menjumpai cili benggala yang berwarna hitam. Ia biasa mudah ditemukan dalam masakan India dan Mexico.
Warna hitam ini adalah disebabkan oleh proses kematangan yang lebih lama. Jenis cili ini mempunyai rasa lebih pedas dan kuat berbanding yang lain.
6. Cili benggala ungu
Cili benggala ungu mempunyai rasa pedas yang sederhana sehingga kuat. Warna ungu yang terhasil ini adalah disebabkan oleh pigmen anthocyanin yang mempunyai sifat antioksidan.
Fakta nutrisi cili benggala
Berikut adalah kandungan nutrisi yang rerdapat dalam setiap 100 gram cili benggala:
- Air: 92.2 g
- Tenaga: 26 kcal
- Protein: 0.99 g
- Jumlah lemak: 0.3 g
- Serat: 2.1 g
- Jumlah gula: 4.2 g
- Kalsium: 7 mg
- Zat besi: 0.43 mg
- Magnesium: 12 mg
- Fosforus: 26 mg
- Kalium: 211 mg
- Natrium: 4 mg
- Zink: 0.25 mg
- Kuprum: 0.017 mg
- Mangan: 0.112 mg
- Vitamin C: 128 mg
- Selenium: 0.1 µg
- Thiamin: 0.054 mg
- Riboflavin: 0.085 mg
- Niasin: 0.979 mg
- Vitamin B-6: 0.291 mg
- Folat: 46 µg
- Kolin: 5.6 mg
- Betaine: 0.1 mg
- Vitamin A: 157 µg
- Vitamin E: 1.58 mg
- Vitamin K: 4.9 µg
Cara tanam cili benggala
Bagi anda yang baru berjinak-jinak untuk bercucuk tanam di rumah, tanam cili benggala adalah tanaman yang paling disarankan kerana ia mudah untuk ditanam dan boleh hidup dengan subur.
1. Cara tanam cili benggala dari biji benih
- Potong lada benggala kepada dua bahagian dan ambil bijinya sahaja.
- Jemur biji benih tersebut selama 2-3 hari.
- Kemudian, semaikan ia dalam tanah menggunakan tanah campuran (tanah hitam, kompos, sekam bakar/sekam mentah, dan pasir).
- Bila anda nampak ada pencambahan daun berlaku, boleh alihkan ke pasu atau polibeg berasingan.
- Buat sungkupan atau perlindungan selama 5 hari agar pokok lebih kuat.
- Untuk pokok lurus tegak, anda boleh sediakan pancang dan buang juga tunas-tunas air yang tumbuh.
- Sembur pokok dengan racun organik untuk elak serangga perosak selepas pokok mulai berbunga dan berbuah.
- Bila lada benggala sudah matang (lebih kurang 2 bulan), anda boleh tuaikannya.
2. Cara tanam cili benggala dari keratan batang
Keratan batang adalah alternatif yang sangat baik untuk menyemai benih, terutamnya jika anda tidak mahu menghabiskan terlalu banyak masa untuk menjaga tanaman anda.
- Kumpul beberapa keratan batang yang sihat dan potong daun atau bunganya.
- Tanam keratan batang dalam pasu kecil yang diisi dengan kompos dan diletakkan di tempat yang teduh sehingga keluar akar, pucuk, dan buah. Jika ada penggalak akar boleh celup dulu sebelum tanam.
- Siram setiap 2-3 hari sekali.
- Apabila pokok nampak kukuh dan stabil, boleh pindahkan tanaman tersebut ke pasu yang lebih besar.
Tips tanam cili benggala
Berikut adalah antara tips cara tanam cili benggala dengan kaedah yang betul.
- Cili benggala hijau dan merah sesuai di tanam di halaman rumah.
- Tunas air dan daun yang keluar sebelum cabang Y harus dibuang.
- Untuk meningkatkan kualiti buah, pastikan pokok dipangkas dengan hanya mengekalkan dua batang utama sahaja.
- Untuk mendapatkan buah yang besar, lakukan siraman campuran (1 sudu makan Epsom salt + 3.8 liter air) apabila tanaman mula berbunga.
- Elak dari menggunakan baja yang tinggi kandungan nutrien. Jika menggunakan baja kimia, pastikan nisbah NPK lebih rendah.
- Pokok cili benggala mudah diserang serangga phids dan flea beetles serta penyakit seperti mosaic virus, blossom end rot dan root-knot nematode. Justeru kawalan serangga dan perosak perlu lakukan.
- Tanaman yang boleh ditanam bersama cili benggala ialah bawang besar, lobak merah, marjoram, oregano, petunia, rosemary, dan terung.
Setakat itu sahaja perkongsian kami mengenai cara tanam cili benggala. Untuk mendapatkan lebih banyak lagi ilmu dan tips mengenai perkebunan dan tanaman, anda boleh terus ikuti artikel terkini dari Terapi Kebun.
Sumber:
- What Are The Health Benefits of Capsicum? Medical News Today
- How To Grow Capsicum at Home. Urban Mali